Saturday, 31 December 2011

Jam - jam terakhir 2011

Lebih kurang 3 jam sahaja lagi detik 12 tengah malam. Menandakan hari akan bertukar ke tahun 2012! 
Apa yang aku sedang lakukan saat ini?
OK.
Sekarang jam menunjukkan pukul 9.09 malam. Televisyen yang sedang terpasang menayangkan drama Cerekarama lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Ishak - 'Aduh Sayang' tajuknya. Aku toleh2 begitu ja sebab sedang menaip ni..sambil mengemas buku-buku lama dalam tong buku.

Petang tadi aku ke Tesco membeli kabinet kecil untuk letak tv yang baru aku beli. LCD + LED kau! Melayang $$$ aku. Tv lama tu sudah tiga kali dibaiki tetap juga rosak. Masuk pusat kitar semula minggu depan. Lapang sedikit rumah ni..ahh habuk banyak. Siang tadi menelefon dan berbual dengan mak. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. 
Alhamdulillah, cuaca hari ini baik walaupun hujan sekejap semasa dalam perjalanan ke Tesco lebih kurang pukul 3.30 petang tadi.

9.13 malam.
Sambung sebentar mengemas buku-buku kuliah, buku-buku dan nota-nota lama yang sudah tidak relevan. Sempat aku membaca catatan nota2 kerja yang lama. 3-4 tahun lalu. Ada yang lucu dan ada yang 'eh, betulkah aku yang tulis ni??' hmmm. haha.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar..
Indahnya cuaca dan suasana petang tadi. Seakan sudah sekian alam aku tidak melihat sinaran jingga mentari kala petang merangkak senja. Terang-benderang menyimbah ke atas pokok-pokok di 'banjaran mini' Gunung Pulai. Aku akui emosi kadang-kala dipengaruhi oleh cuaca.
Dan aku juga gembira sebab.. Tugasan Literasi Komputer & Bahasa Malaysia yang aku pos pada pukul 7.30 pagi, 29 Dis 2011 (dua hari lepas) tu, selamat sampai di PPPJJ sebelum tarikh akhir pada hari ini! Alhamdulillah.. Kecut juga kalau pensyarah tolak!

Baik. Aku sambung mengemas. Esok 1 Januari 2012. Turun ke Taman Perling untuk sesi bermain tenis seperti biasa. 

**
11.25 malam.
Siap mengemas buku2 kuliah dan bahan2 untuk P&P minggu hadapan. Alhamdulillah lapang kepala, lapang dada, lapang suasana dalam rumah sewaku yg kecil ni.
Tengok Berita Dunia Tv1.
Lapar.
Korek2 dapur apa yang ada.

Alhamdulillah..! Alhamdulillah..! Allhamdulillah..!

Thursday, 29 December 2011

Penghujung Disember

crazy-amazing collection of Google along 2011

 Dua hari lagi sebelum melangkah ke hari terakhir dalam tahun 2011.


Apa yang berlaku setakat ini? Menandakan berakhirnya cuti selama lebih kurang sebulan. Kenangan.. Aduhai..

1. Berhempas-pulas menyiapkan tugasan pada saat akhir. Mudah2an tugasan selamat sampai sebelum tarikh akhir. Im sorry, Prof ;p . Alhamdulillah, sekarang aku boleh fokus kepada tugasan matematik. Ini kena kerja lebih sebab aku jadi begini @_@ !

2. Tarikh 27 Disember merupakan tarikh mula bekerja untuk sesi 2012. Alhamdulillah dapat tugas dan selesai urusan menandatangai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang orang asyik heboh-heboh. Aku? Pilih umur bersara paksa pada umur 60 tahun. Sekarang umur 27 tahun. Oh Tuhan, belum sampai separuh pun umurku sekarang ini untuk menuju ke angka 60 tahun itu. Di manakah aku pada ketika itu?

3. Meraikan kehadiran tahun 2012? Pada hujung tahun 2010 memasuki 2011, aku bersama kawan2 menikmati saat pertukaran tahun di kawasan tanah tinggi - Cameron Highland, Pahang. Kali ini aku terpaksa membatalkan hasrat kerana perlu menumpukan perhatian terhadap tugasan dan kebetulan pada 01 Januari 2012 akan ada perlawanan akhir untuk tenis perseorangan Kelab Kembara. Tunggu turn dapat hadiahkah walaupun kalah? :) 

4. Sekurang-kurangnya bertambah kegembiraan aku apabila dapat bertukar-tukar komen dengan kenalan2 di dalam forum. Cari Forum masuk, forum PPPJJ malas pulak masuk! Hishh.

5. Syukur alhamdulillah juga kerana keluarga di Sandakan semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Semoga berpanjangan.

6. Hmmm apa lagi ya? OK, 2012 dijangka tahun yang sibuk. Exam.. Sebulan lagi akan ke Pulau Pinang untuk Kursus Intensif PPPJJ. Memandu la nanti dari Kulai, Johor ke USM, Pulau Pinang. Insya Allah akan larat memandu. Hmmm.. Rehat kena cukup.

7. Insya Allah tiada aral, bulan 3 aku mahu pulang ke Sabah. Seminggu pun jadilah..

Semoga kehidupan terus tabah dan aku diberikan kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang. Sayang keluarga, sahabat, teman2 dan semuanya. Doakan yang terbaik untuk semua. 

SELAMAT DATANG 2012!

Wednesday, 21 December 2011

Peristiwa

Hari ini barulah cuaca di luar nampak ceria. Ada cahaya matahari yang memancar! Harapnya cerahlah sepanjang hari. 

Terkenang-kenang, teringat-ingat, terbayang-bayang, termimpi-mimpi.. 
Ada lagi perkataan yg hampir? 

Ahhh, apa yg mahu ditulis? Macam mahu ke pantai tapi ombak laut bergelora. Terbayang dalam kepala Pantai Batu Layar di Kota Tinggi.

**keluar ke Kulai beli penyapu.

Sambungan : Rabu : 21 Disember 2011 : 9.23 malam

- penyapu dan dust pan sudah beli.
- pergi ke Pekan Nanas makan nasi campur dengan Ai.
- Buat tugasan.

Petang ini kami di Kg Sri Gunung Pulai dikejutkan dengan berita kematian. Anak bujang di kampung ni dalam lingkungan umur awal 20an meninggal di tempat kerjanya akibat ditimpa bongkah batu kuari.
**BUKAN DITIMPA BATU KUARI - TERJATUH DARI KETINGGIAN 100 KAKI SEMASA BEKERJA DI KUARI.
Sebelum solat asar, terdengar bunyi kentung dipalu. Tanda memaklumkan bahawa ada kariah di sini yang pergi menyahut seruan Ilahi. Tersentak sekejap. Aku pun kurang cam muka arwah ni. Adiknya perempuan yang dalam darjah empat tu bekas anak muridku di sini. Kalau kakaknya aku kenallah :p (kakaknya selalu hantar dia ke sekolah).

Ringkasan :
Kejadiannya kurang pasti dalam pukul berapa. Mungkin selepas waktu zuhur? Van bersama jenazah yang telah siap dimandikan tiba di rumah keluarganya dalam pukul 6 petang. Ramai yang hadir. Ada anak bujang yang menangis dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan arwah tu. Dapat aku merasai bagaimana peritnya perasaan mereka yang kehilangan orang tersayang. Ramai yang melihat namun tidak mampu merasa. Sebabnya? Pernah kehilangan orang yang tersayang? Pernah berpisah mati dengan orang yang tersayang? Kalau pernah, ya sudah tentu kamu faham. Kalau belum, bersedialah!

Ya Allah..sesungguhnya maut merupakan salah satu perkara yang Engkau sembunyikan daripada pengetahun kami hambaMu. Sekelip mata, tiba-tiba, di mana-mana sahaja maut datang menjelma.
Jenazahnya dikebumikan selepas solat maghrib. Ramai yang hadir. Nampak 2 orang pakcik2 yg mungkin rapat dengan arwah..mata masing2 kemerahan dan ada air mata..menangis. Siapa sangka pakcik2 yg nampak hati kering, apabila tiba saat2 perpisahan begini pun tidak dapat membendung air mata. Sayang. Kerana terasa kehilangan. Hilang sesuatu yang selama ini hanya dipinjamkan oleh Allah S.W.T.
Beberapa orang menutup liang lahad dan mengkambus tanah mengisi ruang kubur. Kami yang lain berdiri di tepi. Melihat. Ya Allah, sedetik dua detik..terdetik juga rasa sedih dihatiku. Betapa peritnya kehilangan orang yang disayangi dalam sekelip mata. Berbeza dengan orang yang sakit terlantar, sekurang2nya perasaan untuk menghadapi kehilangan itu lebih sedia. Ada tahlil bersambung di masjid selepas solat isya'.

Aku? Kita? Nampaknya semua kena bersedia untuk menghadapi saat2 berpisah. Selamanya. Jika tidak ditinggalkan, kitalah yang akan meninggalkan. Peritnya. Alam seterusnya yang paling hampir ialah ALAM KUBUR. Ya Allah Ya Tuhanku..bagaimanakah keadaanku di dalam kubur nanti..? Banyak dosa, kurang pahala..

_____________________________________________________________________________
Dulu aku ada seorang kawan. Lelaki. Itu satu-satunya kawan yang pernah cakap aku jenis yang kuat merajuk. Hari ini ada seorang kawan lagi yang dapat tahu bahawa aku sedang merajuk. Tidak perlu pujuk. Esok lega drpd rajuk, aku rujuk balik denganmu.

Sunday, 18 December 2011

Melewati Disember

11 hari lagi melangkah ke tahun 2012.

Hari ini 1 of my best friend, Abby just getting married. Super happy for her. Finally.

Siang tadi menghadiri kuliah di SMK Taman Desa Skudai, Skudai. Subjek matematik sebelah petang yang membuatkan aku terkulat-kulat. Rakan-rakan sekumpulan semuanya tidak hadir. Mungkin ada urusan masing-masing. Zul, Faiz, Kak Pah & Shafie.

Esok turun ke gelanggang tenis setelah genap dua minggu berehat. 
Seminggu di Kuala Lumpur, sempat berjumpa dengan Azmi, Rahmah dan terjumpa dengan Jaliha yang hampir 10 tahun tidak bersua. Alhamdulillah, semuanya baik. Berkekalan hendaknya. Siang nanti Azmi akan kembali ke Sabah. Selamat maju jaya, sahabatku. Doakan juga kejayaan kami di sini. Mengharapkan yang terbaik untuk kita semua.

Satu hal yang lain ingin aku nyatakan di sini, apalah dayaku bertanya lagi.
Mungkin sudah diletakkan noktah, pertemuan setakat ini.
Redha.

Memohon & mengharap kesudahan yang baik. Ameen.

Tuesday, 13 December 2011

Hakikat Sebuah Cinta

.....Lupakan Orang Yang Tak Sudi

Memanglah sukar untuk melupakan seseorang yang kita cintai sepenuh hati. Tiada seorang pun manusia yang akan dapat semua yang diingini di dalam hidupnya.

Walaupun pedih, tetapi kita sebagai manusia biasa terpaksa menerima dengan hati yang reda. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Cuma cara kita diuji dan menanganinya sahaja yang berbeza.

Jika orang dah tak sudi, jauhkanlah diri daripadanya. Janganlah menyeksa diri sendiri kerana bila kita semakin dekat dengan orang yang kita cintai, kita akan semakin menderita. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu pengajaran.

Mungkin dulu kita pernah menyakiti hati orang lain. Sedarlah apa yang pernah kita lakukan pada orang lain walaupun bukan orang yang sama membalasnya pada kita, tetapi balasan daripada Tuhan tetap ada dalam pelbagai cara. Mungkin dengan cara ini sahaja dapat menginsafkan kita supaya tidak mempermainkan perasaan orang lain pada masa depan.

Kadang-kadang kita rasa, inilah cinta kita yang sejati. Tetapi kita hanya sedar selepas kehilangan orang yang kita cintai.

Oleh kerana ego terlalu tinggi kadang-kadang susah untuk kita menerima hakikat bahawa kita sudah tidak dicintai lagi. Merasakan kita masih dicintai kadang-kadang hanyalah andaian serta mainan perasaan untuk menyedapkan hati sendiri.

Semua yang berlaku adalah ujian Tuhan. Jangan ikutkan perasaan kecewa, walaupun tiada jodoh, berdoalah semoga dia hidup bahagia walau dengan siapapun dia bersama. Itu pun salah satu cara menunjukkan rasa cinta kita kepada seseorang.

Kita tidak mampu untuk menolak takdir yang telah ditentukannya. Berserahlah pada Yang Maha Esa, itulah yang sebaik-baiknya.
Terima kasih  : @fb Inchchek Taheer's note - credits tuan punya blog.

Monday, 12 December 2011

Catatan di Kuala Lumpur

Aku datang lagi ke Kuala Lumpur. Setelah mengemas dan membersihkan rumah, sempat menitipkan pesan kepada tuan rumah. 3-4 hari di Kuala Lumpur. Melawat adik-beradik dan berjumpa berkumpul bersama seorang daripada sahabatku iaitu Azmi yang akan bertukar pindah ke Labuan. Tahniah Azmi. Walaupun sedih tetapi akhirnya dapat hidup dekat dengan ibu bapa dan keluarga tersayang.

09 Disember 2011 - Jumaat
Aku bertolak dari rumah pada pukul 2.15 petang. Sahabat di Kulai, Ai sudi menolong menghantarkan aku ke Stesen Kereta api Kulai. Dia juga menolong aku untuk meletak kereta di rumahnya. Terima kasih, Ai.. Banyak budi dan jasamu sepanjang kita bersahabat.
Kereta api tiba lebih kurang pada pukul 2.50 petang. Penumpang agak ramai. Cuaca di luar cerah. Kepanasan cahaya matahari yg menembusi tingkap menyebabkan aku menyarung jaket untuk menutup bahagian lengan yang terdedah. Di sebelah aku ada seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan @ sembilan tahun yang sedang tidur nyenyak. Adik-beradik dan ibu bapanya duduk di sebelah. Mungkin baru pulang dari makan angin. Ada bayi juga. Kerap menangis sepanjang perjalanan.
Sahabat dari Sabah yang menetap di Klang iaitu Rahmah akan menjemputku di Stesen Komuter Shah Alam. Dia menelefon. Lama lagi perjalanan ni. Sekitar pukul 8.30 malam barulah sampai di Stesen KL Sentral. Sepanjang perjalanan aku sempat mengambil gambar-gambar ini walaupun biasa tapi dpt dijadikan kenangan. Kenangan lagiiiiiiii..!



Senja. Melintasi satu kawasan di Melaka

Semasa kereta api melepasi satu kawasan di Melaka

Sepanjang perjalanan sambil2 tengok filem Will Smith yang dimainkan dalam kereta api dan dengar lagu dalam telefon. Hmmm..
Diringkaskan, aku sampai di KL Sentral dalam pukul 8.45 malam. Aku terus membeli tiket komuter ke Stesen Shah Alam. Rahmah menjemputku sebaik sahaja sampai di Shah Alam. Perjalanan ke rumahnya mengambil masa lebih kurang 15-20 minit. Sebaik sahaja sampai di rumah, ada adiknya iaitu Nasir. Kami menunggu ketibaan Azmi yang akan pulang dari menonton wayang bersama kawan-kawannya. Sementara itu, kami berbual2 dan aku makan nasi kuning menu tuan rumah. Kenyang. Malamnya kami berlima berbual2 biasa. Aku tidur lebih awal. Dikejutkan oleh Azmi. Rajin pla dorang goreng popiah tengah2 malam. Agak letih. Esok baru aku datang ke tempat kakak.

10 Disember 2011 - Sabtu
Bangun seperti biasa. Solat dan sambung tidur sehingga pukul 8.00 pagi. Bangun pagi, kami menggoreng mi dan Rahmah goreng roti telur + cheese letak susu pekat..! Memang 'menyihatkan'. Makan beramai-ramai sambil berbual. Kenyang. Sambung lagi berbual. Kemudian tengah hari kami berlima keluar. Aku mengikut Azmi pulang ke rumahnya dalam 15 minit dari rumah Rahmah yang menghantar kami. Rahmah ada kuliah tengah hari tu.
Sebelum ke rumah Azmi, kami singgah melawat sekolah Azmi iaitu SK Bukit Tinggi, Klang. Sempat mengambil gambar di situ.




Konon temanya ialah 'School Alone' ala2 'Home Alone'


Tiba di rumah Azmi dalam pukul 2 petang. Berbual-bual. Kami turun ke bawah bungkus nasi dan makan di rumah. Pukul 4 petang nanti bergerak ke luar. Sempat tengok 'friendship video' yg kawan2nya di Klang buat khas untuk dia. Terharu pulak. Sempat sumbangkan air mata yang murah ni. Then, fikir punya fikir, selepas menghantar beg barang di rumah kakak, aku akan sambung berjalan dengan Azmi. Mau ke pasar malam di Jalan Masjid India. Kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan dari Klang ke KL, sempat juga tengok video2 rakaman berkaitan sekolah Azmi.
Tiba di Pasar Seni, kami menaiki LRT. Aku terus ke Kerinchi dan Azmi terus ke KL Sentral. Berjumpa di KL Sentral dalam sejam kamudian.
Aku tiba di rumah kakak. Semuanya baik2 sahaja. Alhamdulillah. Mandi, solat dan berehat. Aku kemudiannya keluar semula ke KL Sentral. Tiba di sana, Azmi berjumpa dgn kawannya. Serah soft copy gambar pengantin tu. Pada masa yang sama di ruang atas KL Sentral sedang berlangsung uji bakat untuk program Pilih Kasih. Nampak Umie Aida duduk di hadapan pentas selaku juri. Ramai juga yang datang uji bakat. Turun semula ke bawah. Dalam pukul 8.30 malam, kami meneruskan dengan LRT ke Stesen Pasar Seni.
Kami berjalan di sepanjang barisan gerai pasar malam. Adoi sesak. Ramainya manusia. Makanan, kain baju, tudung, kasut crocs, kerongsang, alat mainan..macam2 yang dijual orang. Membayangkan keletihan orang yang berniaga mencari rezeki. Memang penat. Tapi itulah namanya hidup. No Pain, No Gain. No Work, No Money. Kami singgah makan sup di sebuah gerai. Gerai jual bakso sudah tutup. Awalnya kami ternampak, apabila berpatah semula (selepas berjalan jauh ke dalam), gerai tu sudah bungkus tutup. Selepas makan lebih kurang dalam pukul 10 malam, kami pun bergerak pulang ke destinasi masing2. Rancangan selanjutnya berjumpa esok lagi, iaitu hari Ahad. 
Aku tiba di rumah. Berbual2 then menonton tv. Keletihan dan bersedia untuk hari esok. 

Buka facebook. Mengapa ada yang seolah-olah bersikap acuh tak acuh dengan aku.. Sedihnya rasa..

11 Disember 2011 -Ahad
Rancangan hari ini ialah selepas Rahmah menghadiri kuliah, dia akan datang mengambil aku di Kerinchi. OK, lebih kurang pukul 1.40 petangm Rahmah datang bersama adiknya Nasir mengambil aku. Sebelum tu, pagi tadi makan nasi dengan ayam masak kicap yang dimasak oleh kakak. Sedap. Adikku Iwan pun datang. Kami berkumpul berbual2. Abang Jul di Subang mungkin tidak datang. Sibuk kali.
Rahmah mengambil aku dan kami bergerak berkereta menuju ke rumahnya. Sebelum tu singgah di MINDEF Jalan Semarak. Ahh, Kuala Lumpur jalannya sesak dan bersimpang-siur, berselirat. Sepanjang perjalanan berbual itu ini. Macam-macam. Kisah2 dulu dan hal-hal orang muda. Haha. 
Tiba di Bukit Tinggi dalam pukul 3.50 petang. Kami mengambil Azmi di rumahnya dan rancangan seterusnya, kami terus ke Domino Pizza. Bungkus dan makan di taman. Menikmati suasana tamankah..? Lebih kuranglah. 
Kami menuju ke Taman Ambang Botani. Buka kotak pizza dan makan sambil bergambar2. Ada beberapa pasangan pengantin yang sedang merakamkan gambar outdoor wedding masing2. Di Taman Ambang Botani ni ada kolam dan air pancurnya kebetulan dihidupkan semasa kami sedang makan pizza. Masing-masing mengambil gambar. 

Kami berlima. Aku, Rezz (kwn Nasir), Azmi, Rahmah & Nasir adik Rahmah



Konon2 utk profile picture di Facebook! Hah

Ada roda yg boleh berpusing

Dengan Nasir adik Rahmah. Juniorku semasa di Elopura juga.

Bersama salah satu pasangan pengantin di taman ni!


Kami bergerak dari Taman Ambang Botani ni dalam pukul 5.30 petang. Terus bergerak ke rumah Rahmah. Berehat2 dan memindahkan gambar ke dalam komputer Rahmah. Sempat pilih gambar untuk Rahmah buatkan video klip since dia sudah pandai membuat video klip hasil daripada kuliahnya di UTM. Hehe. Kami berlima bergerak semula ke KL meninggalkan rumah Rahmah. Sebelum tu, hantar Azmi pulang ke Bukit Tinggi. Flightnya bertolak ke Sabah pada pukul 8.45 pagi 18hb Disember nanti. Selamat berkemas dan berangkat pulang, Azmi sahabatku. Semoga tabah dan hingga berjumpa lagi di Sabah kelak. Ada keharuan dan Azmi macam biasa, ceria2 sahaja. Kami meneruskan perjalanan ke KL untuk menghantar aku. Jauh juga perjalanan dari Klang ke KL ni. Hujan sebentar semasa melalui Shah Alam. Sempat nampak I-City. Lampu2 LED membentuk pokok2. Sepanjang perjalanan kami berbual. 
Aku tiba di Kerinchi lebih kurang pukul 9.40 malam. Berehat. Berbual2 dengan kakak dan Iwan. Sambil tengok Fantaghiro. Sempat masuk Cari Forum. Kawan2 dalam Bod Pahang & Borak..ahh..teman2 maya yang mengisi masaku.. 
Bersedia untuk hari esok.

12 Disember 2011 - Isnin
Pagi ini. Semasa jari-jemariku sedang menaip catatan ini. Jenuh juga. Gambar2 di atas tu baru sahaja aku pindahkan dari dalam kamera ke laptop ni. Gambar-gambar kenangan bersama Azmi, Rahmah, Nasir dan Rezz (aku pun kurang pasti ejaan nama si Razikah ni).
Esok, 13 Disember hari Selasa, mungkin pulang semula ke Kulai dengan menaiki bas. Ahhh. Ustaz Faizul kawanku di Sabah itu ada menelefon minggu lepas untuk menyambut kedatangannya di Lapangan Terbang Senai pada malam esok. Tugasan menunggu untuk dibuat. Macam-macam difikiran. Hmmm.. Hujung minggu ni wedding sahabatku Abby di Kota Kinabalu.. 
November dan Disember tahun 2011 yang banyak dan penuh dengan kenangan..
Kuatkan semangatku, Ya Allah. Hidup ini singkat tetapi panjang liku-likunya..

Saturday, 10 December 2011

Dia

Berfikir, bertanya, tercari-cari..di mana.. Mengapa..

Thursday, 8 December 2011

Sudirman : Jauh Di Sudut Hati

Jauh di sudut hati, aku harap menjadi seorang yang lebih mengenal erti hidup dan diri..

Sayang
Kubawa jauh rinduku
Kerna aku telah tahu
Kau bukan milikku

Sayang
Sesungguhnya bukan mudah
Menjalani hidup ini
Tanpa kau di sisi

Jauh di sudut hati..
Aku masih bermimpi
Mimpi yang indah
Esok kau kembali

Jauh di sudut hati..
Ada waktu-waktunya
Aku berdoa
Kau pulang semula

Sayang
Biar kumengingatimu
Biar kugantung harapan
Hingga sampai waktu
Nafas terakhirku...

Tuesday, 6 December 2011

Sejenak

Ada beberapa perkara yang aku ingin tahu tetapi perlukah aku bertanya? Ingin bertanya tetapi kepada siapa? Soalan. Jawapan. Sedangkan aku hampir pasti apa jawapannya walaupun mengharap jawapan yang menyenangkan. Haruskah dipendamkan dan dikuburkan segala pertanyaan? Tiada kepastian. Simpan. Apakah ini? Banyak berfikir. Fikir segalanya.

Pulang dari Pahang membuatkan aku banyak berfikir. Betapa singkatnya hidup kita manusia.. Dalam satu saat boleh pergi begitu sahaja. Kira berapa purata jangka hayat hidup manusia pada hari ini? Purata 65-70 tahun. Itupun sudah kira umur yang panjang. Zaman sekarang ramai yang mati lebih cepat. Tertanam dalam fikiran bahawa setiap daripada kita akan sempat merasa kehidupan pada peringkat tua. Hakikatnya? Berapa ramai yang pergi lebih awal. Aku jadi takut.
Kehidupan dalam alam seterusnya. Di dunia walaupun kesunyian tetapi adakah sama dengan sunyi di dalam kubur? Kalau sunyi. Kalau berteman, apa yang menemani di dalam kubur? Amalan.. Seksaan.. 
Minggu yang banyak buat aku berfikir. Betapa panjangnya waktu di alam sana. Di dunia yang terlalu singkat. Adakah dapat bersama dengan mereka-mereka yang disayangi kelak? Fikiran manusia terbatas. Tidak dapat membayangkan masa depan.
Apa yang terlintas difikiranku saat ini. Banyak. Kadang terfikir untuk bahagia di sana memerlukan amalan yang banyak. Cukupkah..sempatkah.. Tuhan..

10 Muharram 1433H

Kelmarin ialah 9 Muharram dan malam tadi Jawatankuasa Masjid As-Syakirin Kg Sri Gunung Pulai, seperti biasa ada buat sambutan pada malam 10 Muharram. Hari Asyura.

Dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan senggang menunggu waktu isya' diisi dengan bacaan tahlil dan doa. Lebih kurang 15 minit sebelum azan isya' berkumandang, para kariah masjid dipersilakan menikmati bubur asyura @ bubur lambuk yang telah disediakan bermula selepas asar tadi.

Dalam belanga
Aku tumpang kenyangkan perut. Sedap. Wak (panggilan untuk org tua di sini) yg duduk di sebelahku tolong tambahkan bubur tu lagi. Kenyang. Ada sambal2 bawangnya lagi. Kemudian solat isya berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd.Fahmi bin Samad? iaitu Tuan Kadi daerah Kulaijaya selaku penceramah jemputan.

Perut sudah kenyang, solat isya' dan doa pun sudah..so ceramah pun dimulakan selama lebih kurang sejam. Seronoknya mendengar tetamu penceramah ni bercakap sebab banyak selit-selit humor. Tidaklah rasa bosan menunggu waktu.

Antara kata-katanya yang aku ingat pada malam tadi..

"Ada dua perkara yang selalu menimpa manusia - 1.UJIAN dan 2. BALA. 
Apakah perbezaan di antara UJIAN dengan BALA?
:: UJIAN ::
Apabila sesuatu perkara itu menimpa / berlaku ke atas seseorang hamba dan perkara itu menjadikannya lebih dekat kepada Allah S.W.T, maka itulah namanya UJIAN. 
Sebagai contoh apabila diserang demam, lihat sama ada kita akan menjadi lebih kuat untuk menunaikan solat @ menjadikannya alasan untuk meninggalkan solat. Apabila semakin jauh daripada Allah S.W.T, maka demam itu ialah :: BALA ::

Fikir-fikir betul juga. Isi ceramah yang lain banyak menyentuh tentang sejarah / peristiwa yang berlaku pada hari 10 Muharram. Kebanyakannya peristiwa2 yg berlaku ke atas nabi2 terdahulu. Memang istimewa tarikh 10 Muharram. Amalan paling diketahui umum ialah melakukan puasa sunat pada 9 & 10 Muharram ataupun pada 10 & 11 Muharram.

Makan yg hmpir selesai
Kami pun pulang dengan perut yang kenyang dan dapat sedikit peringatan. Alhamdulillah. Moga jiwa sentiasa tenang dan damai. Ameen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...