Tuesday, 9 August 2011

Tempat Baharu

Salam Ramadhan. Hari ke-9 berpuasa.

Hari ini aku melapor diri di tempat bertugas baharu iaitu di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, LAYANG-LAYANG, Johor. Sengaja menggunakan huruf besar pada perkataan ‘LAYANG-LAYANG’ kerana sebenarnya sekolah ini berada dalam jajahan daerah Kluang walaupun bernaung di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya.

Entrance after the school's gate. There, my small black car.
Aku bertolak dari rumah pada pukul 6.45 pagi. Sasaran masa ialah selama 30 minit untuk sampai ke sekolah baharu ni. Ternyata silap! Pada awalnya aku merancang untuk keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi. Siap itu siap ini, lewat juga. Sepatutnya aku melapor diri pada hari Isnin, 08 Ogos 2011 tetapi disebabkan ada mesyuarat di PPD, jadi terpaksalah aku menundanya ke hari ini.

Keadaan di sekolah baharu ini tidak banyak bezanya dengan sekolah lama. Sekolah kecil dengan jumlah murid kurang daripada 200 orang. Bilangan guru termasuk aku yang baru melapor diri adalah seramai 19 orang. Guru Besar tiada ketika ini kerana dalam cuti selama tiga hari sehingga hari Rabu.

Ketibaanku disambut baik oleh rakan-rakan guru di sini. Ada beberapa orang yang sudah sedia kenal (berjumpa dalam mesyuarat sedaerah sebelum ini). Abg Khairul, Nor Risam, Kak Rashidah GPM dan Cikgu Nadiah yang pernah sama-sama ketika kursus LINUS tahun 2010.


Itu kantin & padang sekolah yang luas dan nun ladang kelapa sawit.
Sekolah ini dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Tepatnya, terletak di tengah-tengah kawasan penanaman kelapa sawit. Oh ya, lebih kurang hampir sejam untuk aku tiba di sekolah ini pada awal pagi tadi. Jarak? 52 kilometer. Ada satu simpang tiga. Kiri ke Kluang dan kanan ke arah sekolah ini dalam jarak lapan kilometer. Dari persimpangan tadi, jarak ke Kluang ialah sejauh 37 kilometer. Lebih hampir ke Kluang nampaknya. Selepas ini aku akan menempuh perjalanan pergi-balik sebanyak 104 kilometer. Sekian lama aku merasa perjalanan jarak dekat ke sekolah (kurang daripada 2km berulang alik sewaktu di SK Sri Gunung Pulai..hmm mungkin dalam jarak 1.6 km sahaja, terlewat pun masih sempat!). Jadi sekarang aku harus belajar dan  membiasakan diri untuk menyusun semula waktu bersiap ke tempat kerja. Paling elok keluar dari rumah pada pukul 6.00 pagi. Kelas di sini bermula pada pukul 7.10 pagi dan berakhir 1.10 petang.

Bermula lagi satu episod baru dalam sejarah perkhidmatanku. Menariknya di sini terdapat 10 buah rumah guru dan masih ada kekosongan dua buah rumah. Sayang rasanya untuk meninggalkan Kampung Sri Gunung Pulai. Suasana di situ sudah sebati dengan diri. Biarlah berulang-alik buat masa ini. Hidup ini perlukan pengorbanan, kan. Permohonan untuk berpindah ke Sabah terpaksa aku tangguhkan. Tunggulah sehingga bulan Mac tahun 2012. Tidak sesuai rasanya membuat permohonan pindah di tempat baharu ini sedangkan aku baru sahaja berkhidmat di sini. Kerusi pun belum panas duduknya.

*Waktu pulang anak-anak di sini. Ada murid menggunakan pembesar suara dan membaca doa. Murid-murid lain beratur di luar bilik darjah dan mengaminkan doa. Wah, ada kelainan. Bagus.

Esok aku akan kembali ke tempat lama untuk membuat serahan tugas. Satu hari sahaja dan pada hari Khamis akan kembali semula ke SKMJ ini untuk memulakan tugas seperti biasa.

Harapanku semoga kehadiranku akan diterima baik oleh warga di sini dan aku dapat menyesuaikan diri secepat yang boleh. Dapat menjadi seorang pekerja yang lebih baik daripada sebelumnya.


Dan . . . 



"Selamat tinggal, SK Sri Gunung Pulai. Banyak kenangan tercatat sepanjang 5 tahun 7 bulan dan 8 hari berkhidmat di sini. Sahabat dan rakan-rakan yang baik tidak mungkin aku lupakan. Sedih meninggalkan sahabat dan teman yang banyak memahami; gembira kerana pergi daripada mereka yang pandai berpura-pura dan tidak pernah belajar untuk mengerti. Asam garam dunia pekerjaan, terima semuanya dengan penuh redha."

**Hendak menyiapkan kad-kad raya untuk rakan-rakan dan teman-teman yang kebanyakannya berada di Sabah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih / Thank You
http://bit.ly/1bNnzEh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...