Friday, 5 August 2011

Bapa


Foto bapa yg diambil pada 3 Nov 1962 - 'Pertemuan di rantau' tercatat di papan kecil bawah gambar ini. Mungkin pertemuan bersama ahli keluarga (ada dua org lelaki  yg tidak kami kenali berdiri di sebelah bapa). Satu-satunya foto bapa yg masih ada selain foto ukuran jenis pasport.
Insya Allah, Aidilfitri akan tiba lagi tahun ini. Ini adalah tahun ke-6 kami sekeluarga beraya tanpa bapa. Semasa bapa masih hidup, sejak aku kecil; kami meraikan hari raya dengan sangat sederhana. Pernah dalam tahun-tahun hidup dalam kesusahan, hari raya kami sama sahaja seperti hari lain. Sama - biasa  - dari segi persiapan. Persiapan yang asal ada. Lauk ayam. Tiada keseronokan merasa bermain tepung @ menghidu wangi biskut rangup daripada ketuhar. Tidak pernah menyambut hari raya dengan suasana yang begitu meriah. Sudah terbiasa meraikan hari raya Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan. Biasa.

Sejak bapa tiada (bapa meninggal pada 29 Disember 2005), tahun-tahun Aidilfitri kami juga masih dalam keadaan yang sederhana. Mungkin sudah terbiasa.

Hari-hari terakhir bapa.

Bapa terlantar di hospital selama lebih kurang sembilan / sepuluh hari kerana mengalami masalah paru-paru berair. Menurut doktor, paru-paru kiri bapa telah rosak. Pada tanggal 20 Disember 2005, bapa mengadu tidak tahan lagi tinggal di rumah. Bapa meminta untuk dibawa ke hospital. Sebelumnya, bapa terlantar di rumah selama lebih kurang dua bulan (bapa masih boleh bangun untuk bergerak ke tandas tetapi kebanyakan masanya dihabiskan berbaring @ duduk di atas tilam.) Kami tidak tahu bahawa bapa rupanya menghidap kanser paru-paru sehinggalah diberitahu oleh doktor Cina beberapa hari sebelum bapa meninggalkan kami. Semasa bapa terlantar di rumah, bapa mengadu sesak nafas. Aku lihat bapa agak sukar untuk menarik nafas dan terpaksa mengambil udara melalui mulutnya. Bapa juga meminta agar disediakan baldi kecil yang diletakkan di tepi tilamnya kerana bapa akan menghasilkan ludah dan terpaksa membuang ke dalam baldi kecil tersebut.
Kakak Comel yang selalu menemankan bapa. Mengurut belakang bapa pada waktu malam. Ketika itu aku baru sahaja habis tahun pengajian terakhir di maktab.
Memandangkan aku tiada aktiviti sepanjang cuti, maka aku ditugaskan untuk menemani bapa di hospital. Sebagai anak, sungguh teruji keikhlasan diri apabila aku perlu menguruskan keperluan bapa di hospital. Bapa terpaksa dipapah berjalan ke bilik air. Badannya perlu dilap menggunakan kain basah dengan keadaan paip getah kecil yang bersambung dari lubang rusuk kirinya. Saluran getah jernih itu berakhir pula dengan satu bekas yang diletakkan di lantai bawah katil untuk menampung cecair yang keluar daripada paru-paru bapa. Cairannya kuning kemerahan. Ada campuran darah. Mengalir sedikit demi sedikit. Bapa juga tidak berselera makan. Selama sembilan hari keadaan ini berlarutan. Bapa semakin lemah walaupun masih boleh bercakap. Beraknya hanya di atas katil, mujur masih boleh duduk di atas bekas khas yang ada di hospital.
*to be continued.

Hari terakhir bapa.

Pemeriksaan berkala oleh doktor di hospital pada pukul 8.00 pagi 29 Disember 2005.
Tekanan darah bapa semakin turun. Doktor memberitahu aku supaya memaklumkan ahli keluarga datang untuk berjumpa bapa. 'Masa' bapa sudah hampir. Bapa duduk di tengah-tengah katil. Pandangannya seakan kosong. Aku tidak tahu apa perasaan saat ini. Mahu menangis, panik.

Kebetulan Kakak Mas datang ke hospital pada pagi yang sama. Aku berjumpa dengan kakak di tingkat bawah hospital dan memaklumkan hal ini. Masing-masing senyap seketika selepas aku memberitahunya. Mungkin kakak yang menelefon kakak-kakak yang lain. Kakak Aja, Kakak Comel terus datang ke hospital. Kakak Mas naik ke atas dan menemui bapa di katil. Lebih kurang pukul 10 - 10.30 pagi. Bapa memberitahu kakak. Dia mahu makan buah nanas. Aku hairan. Kakak menyuruh aku ke kedai membeli buah nanas dalam tin. Susah mencari buah nanas segar di hospital ketika itu.

Aku berlari-lari anak dalam jarak lebih kurang 800 meter. Ke kedai runcit Cina di Batu 2 berhampiran jalan ke SMK Sandakan. Membeli nanas dalam tin. Ada. Berlari semula balik ke wad. Bapa  makan nanas tersebut tetapi sedikit. Kakak Mas dan Kakak Aja kemudiannya turun ke tingkat bawah hospital. Tinggal aku bersama Kakak Comel menemani bapa yang terbaring.

Saat-saat terakhir bapa.

Tiba-tiba aku lihat bapa mengerutkan mukanya. Kepalanya agak terdongak ke atas berhampiran kepala katil. Aku panik. Aku tahu bapa dalam keadaan nazak. Kakak Comel mula menangis. Kakak Aja dan Kakak Mas masih belum naik. Keadaan bapa semakin nazak. Aku mengajar bapa menyebut 'Allahu Akbar'. Dalam keadaan begitu, bapa sudah tidak mampu berkata-kata. Dengan satu tarikan bunyi nafas yang panjang, bapa pun pergi meninggalkan kami. Aku meraung dalam hati. Kakak Comel menangis sambil meminta jururawat berbuat sesuatu. Semuanya sudah terlambat. Kami kehilangan bapa lebih kurang pada pukul 11.15 pagi. Hari Khamis yang cerah.

Aku sempat menelefon kawan baikku Ibrahim. Noor Shaheda. Shaheda datang bersama ibunya melihat jenazah bapa pada waktu tengah hari. Pakcik pun datang melihat wajah bapa setelah sekian lama mereka tidak berjumpa atas sebab-sebab kekeluargaan. "Pakcik, maafkan salah bapa.." Aku sempat meminta kepada pakcik.

Urusan penyempurnaan jenazah bapa semuanya disiapkan di hospital. Jenazah bapa di simpan dalam rumah mayat. Menunggu Abang Jul sampai entah dari mana. Pengebumian jenazah bapa hanya dapat dibuat pada lewat petang Jumaat 30 Disember 2005.

Al-fatihah untuk bapa. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa bapa dan dihindari daripada segala seksaan. Kesusahan dan kesukaran hidup sudah terlalu banyak mengambil masa untuk kami hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Tidak tercapai impianku melihat kami sembilan orang beradik untuk berkumpul bersama kedua ibu bapa. Apa yang ada sekarang cuma kami dan ibu. Harapan yang tidak pernah padam untuk melihat kami berkumpul bersama ibu. Mudah-mudahan Allah dapat menunaikan impian ini. Insya Allah.

2 comments:

  1. sedih entry kali ni...membuat aku menangis pula :'( teringat mereka yg telah pergi meninggalkan kami semua...

    ReplyDelete
  2. Ya, berdoalah utk mereka yg sudah pergi dan berusaha mjadi lebih baik utk kita yg masih hidup.

    ReplyDelete

Terima Kasih / Thank You
http://bit.ly/1bNnzEh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...