Saturday, 27 August 2011

27 Ogos 2011

Hari ini.

Pagi - aku sempat mengeringkan kain dalam mesin basuh, menyidai kain sehingga pukul 8.40 pagi dan bergegas ke SMK Taman Desa Skudai. Menggunakan lebuh raya. Pagi ini aku ada perjumpaan kelas amali untuk pelajar-pelajar biologi. Hari ini kami akan berbincang untuk menentukan tarikh melaksanakan kerja amali subjek biologi. Bertemu dengan beberapa orang kawan baharu mengambil subjek major yang sama. Diputuskan bahawa kami akan membuat amali pada tarikh 24 September 2011. Sebarang pindaan akan dimaklumkan. Selesai pada pukul 11, aku bertolak pulang ke Kulai. Singgah di Maybank bayar duit kereta dan singgah di TJ Mart Saleng beli jeruk bawang lagi. Sampai rumah aku bermalas-malas sambil online :p 

Pukul 2 petang, aku ke rumah Kak Imah di kampung sebelah. Ambil popia gulung yang aku pesan. Ada dua bungkus. Pulang ke rumah, aku singgah di rumah Syafiq bertanya pasal rempeyek yang aku pesan. Asalnya pesan rempeyek ni dengan Kak Ita tapi Kak Ita subkan kepada mak si Syafiq. Malam ni lepas tarawih baru ambil, kataku. Belum dimasukkan dalam plastik katanya. Sempat petik buah rambai depan rumahnya. Oh sempat singgah di rumah bekas anak murid, Farhah. Minta kotak untuk bekas simpan kerepek ubi dan popia gulung dalam penerbangan nanti.

Pukul 5 petang, aku mula mengemas buku-buku yang bersepah (sekarang pun x siap kemas lagi). Mengemas dan memilih barang2 yang patut dan boleh dibawa pulang ke Sabah. Lewat petang pukul 6.15, menantu tuan rumah datang bawa juadah raya? Lontong, sambal goreng, ayam masak merah dan sayur lodeh. Eh, awalnya masak. Bagi awal, mesti sebab esok aku sudah tiada di sini..sempat berbual2 dengan Kak Chom tuan rumah petang kelmarin.. Kemudian  si Zulkarnain adik Zainul anak Kak Ita / Tok Ketua Roskalana pula datang hantar juadah. Kenyanglah aku malam ini. Rumah x siap kemas lagi. Tadi di Facebook sempat berbual-bual dengan Sadrina. Itu ini. Selamat Hari Raya. Harap-harap raya kali ini lebih bermakna dan seronok. Pulang kali ini bawa CPU yang disuruh oleh kakak supaya bawa pulang ke Sandakan. Dengan 3 penerbangan esok.. JB-KL / KL-KK / KK-SDKN. Habislaaaaaa..

Thursday, 25 August 2011

Selamat Bercuti

Hari ini merupakan hari terakhir bekerja. Esok cuti dan aku baru tahu dua hari lepas! Seronoknya! Esok Jumaat merupakan cuti berganti sempena program Larian 1 Murid 1 Sukan yang lepas. Ya, tempat baharu so banyaklah perkara lepas yang aku tidak maklum. Kok beda dengan tempat lama!

Minggu ini aku banyak berfikir malam sebelum tidur. Terpaksa membuat keputusan 1-2 perkara penting dalam hidup. Daripadanya aku harapkan kebaikan dan kebahagiaan yang lebih bermakna. Hmmm..
Baik, tadi ada sesi bersalam-salaman dengan semua warga di tempat kerja. Borang Cuti Rehat Khas pada 05 September diterima oleh KJ tanpa banyak soal sebab aku sudah maklumkan awal bahawa pada tarikh tersebut insya Allah saya akan berada di ruang atmosfera bumi! Hah. Terpaksa. Ahad ini aku akan pulang ke tanah tumpah darahku. Syukur sangat sebab kerani yang menguruskan permohonanku tempoh hari telah berjaya membuat pindaan tarikh daripada 27 Ogos kepada 28 Ogos. Sebabnya, Sabtu 27 Ogos nanti aku WAJIB HADIR ke perjumpaan amali yang pertama dan esok 26 Ogos ada kelas biologi selama dua jam. Harap-harap aku sempat sampai awal! Bersandal cukup..
Kali ini aku akan pulang dengan tangan menjinjing plastik berisi popia udang, kerepek ubi pedas dan rempeyek. Semua kena dijinjing, kalau masuk dalam kargo mesti hancur jadi serbuk atau perlu dimasukkan ke dalam kotak? Ya idea yang bagus.

Esok boleh start kemas barang..perlukah pulang bawa raket tenis? Hmm.. 

Monday, 22 August 2011

Kad PLUSMiles Touch n Go


Memandangkan aku berulang jarak yang jauh untuk ke tempat kerja, menggunakan PLUS merupakan satu daripada dua opsyen yang aku ada untuk sampai pada setiap hari bekerja. Jika ikut 'laluan dalam', jalannya agak sempit (jalan biasa) dan banyak kenderaan yang memenuhi jalan seawal pukul 6 pagi. Aku tergerak hati untuk membeli kad Touch n Go ini apabila berbual bersama rakan guru di tempat baharu. Kosnya sama tetapi memudahkan pergerakan pada setiap hari.
Aku membeli kad ini pada 20 Ogos semasa pulang dari kelas tambahan di Plaza Tol Sedenak. Kad berharga RM30.00 dan nilai di dalamnya ialah sebanyak RM25.00 (harga kad = RM10, rebate = RM5, nilai dalam kad = RM 20, kira jimat RM5. Sekali lalu tol kena bayar RM2.10 dan menjadi RM4.20 jika pergi-balik aku menggunakan lebuhraya PLUS ni. Memudahkan pengguna. Tidak perlu keluarkan duit setiap kali melalui tol. Ramai yang telah menggunakan kemudahan kad Touch n Go ni, aku ni lah antara pengguna yang ketinggalan. Yalah, sebelum ini tidak memerlukannya, sekarang barulah diperlukan. Selepas ini, boleh reload @ top up duit yang ada dalam kad di Stesen Shell Kulai (ini yang terdekat dengan aku berdasarkan tempat2 disenaraikan dalam laman web PLUSMiles ni). Aku juga sudah mendaftar sebagai pengguna melalui sistem dalam talian. Harap-harap dapat faedah dan keistimewaan yang ditawarkan. Maklumat lanjut segalanya tentang kad Touch n Go boleh didapati di SINI. Semuanya lengkap.

Bekas Pensel Unik

Hari Sabtu lepas (20 Ogos) aku datang ke sekolah sebab ada kelas tambahan Sains Tahun 6. Datang memeriahkan. Rakan guru ada dua orang yang turut datang untuk mengendalikan kelas. Sesekali aku bergerak daripada meja ke meja untuk melihat jawapan murid semasa menjawab kertas soalan. Aku ternampak ini, budak lelaki yg pakai : 

boleh masukkan barang dari atas bawah kiri kanan tepi
aku mahu buat style pelangi









Sunday, 21 August 2011

Azian Mazwan Safuan - Bukan Belas Bukan Simpati

 Terdengar burung berkicauan
Ke sana sini terbang berkawan
Sedangkan diriku keseorangan
Dalam dahaga kasih dan sayang

Tiada beribu dan berayah
Tiada saudara hendak bermanja
Andainya engkau pepohon nan rendang
Bawah bayangmu aku menumpang

Menangis ku sendiri
Ketawa pun sendiri
Berpanjangan keresahan hati ini
Siapalah yang tahu
Sakit pening diriku
Tiada bertempat ku mengadu

Bukan mengemis bukan meminta
Hati terhiris kupendamkan saja
Bukannya belas bukan simpati
Niat yang ikhlas letaknya di hati

Ku dengar burung bernyanyi
Berterbangan bebas di angkasa
Walau sesekali terasa iri
Tabahku terima takdir yang Esa..


lama aku mencari lagu ni..selalu dengar di Radio Johor FM & Sinar FM juga..dan untungnya, aku masih punya ibu dan saudara..

Catatan Malam Minggu

Tadi hampir terlelap. Seminggu yang telah menyaksikan aku banyak berada di atas jalan raya berbanding minggu-minggu..bulan-bulan dan tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah, suasana bekerja di tempat baharu cukup baik dan aman.
Isnin 15 Ogos 2011.
Perhimpunan pagi di tempat kerja dan aku diminta tampil ke depan untuk memperkenalkan diri. Sudah tua-tua begini pun masih ada perasaan malu, padahal yang ada di hadapan itu cuma anak-anak kurang daripada 12 tahun! Semuanya berjalan dengan baik. Hari ini banyak rancangan dalam kepala. Paling diingat ialah niat mahu ke JPNJ mengambil waran pulang ke Sabah. Aku kepenatan hari ini. Petangnya aku terlupa, ada apa? Isnin Selasa Rabu aku pulang lewat. Malamnya keletihan.
Selasa 16 Ogos 2011.
Hari ini barulah dapat jadual untuk baki 3 bulan bekerja bagi tahun ini. Lumayan juga. Aku menemui beberapa orang rakan sekerja di sini untuk mendapatkan bahan dan maklumat sejauh mana progress P&P mereka. Ini memudahkan aku untuk proses ambil alih kelas akan datang. Sesi suai kenal secara ringkas dgn anak-anak di sini. Anak-anak usia tujuh tahun, ada seorang bermulut ramah. Aku bertanya tentang tilam (benda-benda yang lembut). Tiba-tiba budak tu menyampuk, "Ayah kite beli katil dua tingkat harga 300!" Haha. Aku pun diam2 ja la. Senyum. Paling teruk ialah pada waktu pagi, lampu isyarat / signal lights semua tidak menyala! Terpaksa aku berhati-hati semasa memandu. Pulang kerja aku terus singgah di pejabat pos, mengepos kad raya berbaki 4 orang untuk Wan Azhar di Melaka, Nisma di Selangor, Raja Azlan di Kedah dan Cikgu Aminuddin di Sabah. Bergegas untuk membaiki lampu signal kereta tapi kedai-kedai tu semua tidak dapat buat. Masaalah pendawaian kata Cina kedai aksesori tu. Puas juga dia mengorek itu ini. Penat. Hampir pukul 6 petang baru aku sampai rumah. Sebelum tu aku sempat singgah di bazaar Terminal Kulai. 

kasihan kucing lapar, bahagian punggungnya melecur teruk, mungkin kesan disimbah air panas

Rabu & Khamis 17 & 18 Ogos 2011
Hari yang biasa. Sama. Petang Khamis ada kelas tambahan bersama budak-budak tahun 6. Tidak sangka rupanya budak nama Mustakim yang pernah sama-sama jadi peserta Kem 1 Malaysia 2009 lalu, dia ada di sini. Dunia memang kecil!

Jumaat 19 Ogos
Barulah sempat membetulkan signal lamp kereta. Memang masaalah pendawaian. Terpaksa menunggu lama di pusat servis. Pusat servis baharu di Bandar Putra. Lounge untuk pelanggan selesa. Oh siangnya ada Majlis Khatam al-Quran dan Pemberian Sumbangan untuk Anak Yatim dan Murid Miskin. Dapat buah tangan kerepek dan bahulu.
pertama kali aku nampak plastik yang ada seal begini..bagus dan sangat praktikal.. aku akan beli untuk bawa pulang ke Sabah.
Petangnya aku berjanji untuk berbuka puasa dengan Herry, kawan Sabahan yang juga bertugas di sini. Membeli makanan di bazaar Bandar Putra. Ini ada kucing jantan bersaiz besar yang kesepian di tengah-tengah laluan orang. Pun kasihan juga. Aku buat bunyi memanggil kucing, terus dia mengejar..

Sabtu 20 Ogos berbuka puasa di Pekan Nanas dan Ahad 21 Ogos aku ada kelas tambahan untuk di hadiri. Petang ini ada majlis di masjid. Oh ya, semalam /kelmarin Sabtu, kelas sidang video yang pertama bagiku untuk semester ini. Lokasi di SMK Taman Desa Skudai, Skudai. Alhamdulillah tidak sesak dan blurr sedikit tapi mujur sempat masuk ke dalam bilik kuliah tepat pada masanya. Dalam kelas purata seramai 15 orang. Jumpa dengan kawan-kawan baharu. Paling seronok, untuk kelas JMK101 Pengantar Kesusasteraan, ianya tiada kerja kursus. Terus kepada peperiksaan semasa Kursus Intensif. Kantuk dan aku mahu melelapkan diri sejam dua.
kucing di pasar malam Bandar Putra, Jumaat 19 Ogos
sidang video @ Pusat Wilayah PPPJJ USM SMK Taman Desa Skudai, Skudai pada hari Sabtu

Tuesday, 16 August 2011

Jeruk Bawang @ Pickled Garlic

Sebelum sampai ke restoran tempat berbuka, aku sempat berjalan-jalan di Bazaar Ramadhan Bandar Putra. Dalam hati mahu membeli kuih tetapi fikir semula, nanti membazir pula. So aku pun berjalan mengharung bazaar yang tidak berapa happening tu. Patut aku buat happening ala-ala sawan, biar kecoh bazaar tu. Lagi pun hari sudah agak lewat, tidak hairanlah orang pun semakin kurang. Bab buka puasa ni orang-orang kita memang punctual! Punctuality! On time! Haha.

Aku sampai di sebuah gerai ni. Gerai menjual jeruk. OH TUHAN! Aku terjumpa jeruk kegemaranku, JERUK BAWANG PUTIH! Nah, ini yang aku cari-cari di sini selama ni tapi belum pernah jumpa sehinggalah hari ini. Wow! Jeruk bawang ni selalunya orang Cina yang buat dan suka makan. Kali terakhir aku makan ialah beberapa tahun lalu di Sandakan. 

jemput rasa semua..

Penjualnya ramah. Abang tu tanya "Eh, pandai makan ni ke?" "Biasa bang, saya suka makan ni, kenapa, nak bagi free 13 kilo?" haha. Abang tu cakap yang dia sendiri pun tidak gemar makan jeruk bawang ni. Yalah, bawang putih kan, rasa macam pelik-pelik dan bau. Tapi bagi aku rasanya sedap dan baunya tidaklah kuat sangat sebab sudah dineutralkan oleh cuka dan gula. Aku beli dalam RM8. Entah berapa gram tu. Dalam anggaran penuh satu bekas bulat microwave tupperware biasa tu. Nyam3. Ni sudah tengah malam pun aku masih menikmati jeruk ni. Gila kalau makan siang. Puasa! Rangup dan manis-manis berbau. Haha. Kalau hari biasa, abang tu berniaga di TJ Mart, Saleng Kulai. Ada gerainya  di situ. Rupa-rupanya dia pun ambil jeruk ni dari Pulau Pinang yang memang terkenal dengan jeruk-jeruk ni. 
'Jeruk Madu Pak Ali' - Kedai jeruk yang sempat aku pergi masa datang ke Pulau Pinang Jun lalu. Sekian cerpen jeruk. Esok aku mahu cerita pasal makan tenggiling pulak. Haha.

Berbuka Puasa

Ahad 14 Ogos 2011.

Aku ikut berbuka puasa beramai-ramai bersama one of my best friend here, Mohaini @ Ai. Kami berkumpul dan berbuka puasa di A&E Corner, Bandar Putra. Kedai makan orang Melayu. Mula-mula, Ai buat 'event' di Facebook. Tidak sangka pula ramai yang datang. Kawan-kawan sekolah Ai. Mungkin ada dalam 20 orang. Makan-makan berbuka bersama.

Kekok juga la aku sebab berada dalam kalangan orang-orang yang belum dikenali. Makan tomyam, ikan siakap? 3 rasa, sayur kailan, sotong goreng tepung, air cincau? with longan. Kenyang juga la, terlebih kenyang. Hari-hari berbuka pun begitu. Hah. (apa yang masuk dalam perut mesti dicerita juga, barulah macam syok sendiri good2 konon! ptuihh..haha). Selepas makan itu ini (restoran ni ada sediakan surau kecil, kira oklah sempat buat Maghrib). Kemudian kami bergerak ke Hutan Bandar Putra. Bergambar ramai-ramai. Nah ini gambarnya. Kabur sedikit.



Terima kasih Ai dan kawan-kawan Kulai. Hari ke-14 berpuasa barulah berbuka bukan sendirian. Salah sendiri. Ada yang ajak tapi salah masa. 

Tuesday, 9 August 2011

Tempat Baharu

Salam Ramadhan. Hari ke-9 berpuasa.

Hari ini aku melapor diri di tempat bertugas baharu iaitu di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, LAYANG-LAYANG, Johor. Sengaja menggunakan huruf besar pada perkataan ‘LAYANG-LAYANG’ kerana sebenarnya sekolah ini berada dalam jajahan daerah Kluang walaupun bernaung di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya.

Entrance after the school's gate. There, my small black car.
Aku bertolak dari rumah pada pukul 6.45 pagi. Sasaran masa ialah selama 30 minit untuk sampai ke sekolah baharu ni. Ternyata silap! Pada awalnya aku merancang untuk keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi. Siap itu siap ini, lewat juga. Sepatutnya aku melapor diri pada hari Isnin, 08 Ogos 2011 tetapi disebabkan ada mesyuarat di PPD, jadi terpaksalah aku menundanya ke hari ini.

Keadaan di sekolah baharu ini tidak banyak bezanya dengan sekolah lama. Sekolah kecil dengan jumlah murid kurang daripada 200 orang. Bilangan guru termasuk aku yang baru melapor diri adalah seramai 19 orang. Guru Besar tiada ketika ini kerana dalam cuti selama tiga hari sehingga hari Rabu.

Ketibaanku disambut baik oleh rakan-rakan guru di sini. Ada beberapa orang yang sudah sedia kenal (berjumpa dalam mesyuarat sedaerah sebelum ini). Abg Khairul, Nor Risam, Kak Rashidah GPM dan Cikgu Nadiah yang pernah sama-sama ketika kursus LINUS tahun 2010.


Itu kantin & padang sekolah yang luas dan nun ladang kelapa sawit.
Sekolah ini dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Tepatnya, terletak di tengah-tengah kawasan penanaman kelapa sawit. Oh ya, lebih kurang hampir sejam untuk aku tiba di sekolah ini pada awal pagi tadi. Jarak? 52 kilometer. Ada satu simpang tiga. Kiri ke Kluang dan kanan ke arah sekolah ini dalam jarak lapan kilometer. Dari persimpangan tadi, jarak ke Kluang ialah sejauh 37 kilometer. Lebih hampir ke Kluang nampaknya. Selepas ini aku akan menempuh perjalanan pergi-balik sebanyak 104 kilometer. Sekian lama aku merasa perjalanan jarak dekat ke sekolah (kurang daripada 2km berulang alik sewaktu di SK Sri Gunung Pulai..hmm mungkin dalam jarak 1.6 km sahaja, terlewat pun masih sempat!). Jadi sekarang aku harus belajar dan  membiasakan diri untuk menyusun semula waktu bersiap ke tempat kerja. Paling elok keluar dari rumah pada pukul 6.00 pagi. Kelas di sini bermula pada pukul 7.10 pagi dan berakhir 1.10 petang.

Bermula lagi satu episod baru dalam sejarah perkhidmatanku. Menariknya di sini terdapat 10 buah rumah guru dan masih ada kekosongan dua buah rumah. Sayang rasanya untuk meninggalkan Kampung Sri Gunung Pulai. Suasana di situ sudah sebati dengan diri. Biarlah berulang-alik buat masa ini. Hidup ini perlukan pengorbanan, kan. Permohonan untuk berpindah ke Sabah terpaksa aku tangguhkan. Tunggulah sehingga bulan Mac tahun 2012. Tidak sesuai rasanya membuat permohonan pindah di tempat baharu ini sedangkan aku baru sahaja berkhidmat di sini. Kerusi pun belum panas duduknya.

*Waktu pulang anak-anak di sini. Ada murid menggunakan pembesar suara dan membaca doa. Murid-murid lain beratur di luar bilik darjah dan mengaminkan doa. Wah, ada kelainan. Bagus.

Esok aku akan kembali ke tempat lama untuk membuat serahan tugas. Satu hari sahaja dan pada hari Khamis akan kembali semula ke SKMJ ini untuk memulakan tugas seperti biasa.

Harapanku semoga kehadiranku akan diterima baik oleh warga di sini dan aku dapat menyesuaikan diri secepat yang boleh. Dapat menjadi seorang pekerja yang lebih baik daripada sebelumnya.


Dan . . . 



"Selamat tinggal, SK Sri Gunung Pulai. Banyak kenangan tercatat sepanjang 5 tahun 7 bulan dan 8 hari berkhidmat di sini. Sahabat dan rakan-rakan yang baik tidak mungkin aku lupakan. Sedih meninggalkan sahabat dan teman yang banyak memahami; gembira kerana pergi daripada mereka yang pandai berpura-pura dan tidak pernah belajar untuk mengerti. Asam garam dunia pekerjaan, terima semuanya dengan penuh redha."

**Hendak menyiapkan kad-kad raya untuk rakan-rakan dan teman-teman yang kebanyakannya berada di Sabah.

Sunday, 7 August 2011

In Team - Kenal Cinta

 Pepohon cintaku kian merimbun
Semakin dicantas makin bertunas
Tidak mampu mendustai hatiku
Rasa cinta fitrah manusia

Siapalah aku menolak cinta
Yang hadir dijiwa tanpa dipaksa
Hidup ini tidak akan sempurna
Tanpa cinta dari Tuhan yang Esa

Adam Hawa tercipta di syurga
Angkara iblis terpisah menderita
Kerana cinta mereka setia
Bertemu di dunia

Dengan cinta kenal Pencipta
Dengan cinta kena rasul-Nya
Kerana cinta kenal saudara
Bahagia keluarga
Oh indahnya cinta..

Hidup tanpa cinta
Sengsaralah jiwa
Sengketa dan dusta kan merajai jiwa
Di batasan cinta syariat terjaga
Tanpa keraguan tanpa kesangsian

Betapa sucinya kasihMu Tuhan
Betapa agungnya kebesaranMu
Diri ini mengharapkan cintaMu
Kekalkanlah rasa kehambaanku

Friday, 5 August 2011

Bapa


Foto bapa yg diambil pada 3 Nov 1962 - 'Pertemuan di rantau' tercatat di papan kecil bawah gambar ini. Mungkin pertemuan bersama ahli keluarga (ada dua org lelaki  yg tidak kami kenali berdiri di sebelah bapa). Satu-satunya foto bapa yg masih ada selain foto ukuran jenis pasport.
Insya Allah, Aidilfitri akan tiba lagi tahun ini. Ini adalah tahun ke-6 kami sekeluarga beraya tanpa bapa. Semasa bapa masih hidup, sejak aku kecil; kami meraikan hari raya dengan sangat sederhana. Pernah dalam tahun-tahun hidup dalam kesusahan, hari raya kami sama sahaja seperti hari lain. Sama - biasa  - dari segi persiapan. Persiapan yang asal ada. Lauk ayam. Tiada keseronokan merasa bermain tepung @ menghidu wangi biskut rangup daripada ketuhar. Tidak pernah menyambut hari raya dengan suasana yang begitu meriah. Sudah terbiasa meraikan hari raya Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan. Biasa.

Sejak bapa tiada (bapa meninggal pada 29 Disember 2005), tahun-tahun Aidilfitri kami juga masih dalam keadaan yang sederhana. Mungkin sudah terbiasa.

Hari-hari terakhir bapa.

Bapa terlantar di hospital selama lebih kurang sembilan / sepuluh hari kerana mengalami masalah paru-paru berair. Menurut doktor, paru-paru kiri bapa telah rosak. Pada tanggal 20 Disember 2005, bapa mengadu tidak tahan lagi tinggal di rumah. Bapa meminta untuk dibawa ke hospital. Sebelumnya, bapa terlantar di rumah selama lebih kurang dua bulan (bapa masih boleh bangun untuk bergerak ke tandas tetapi kebanyakan masanya dihabiskan berbaring @ duduk di atas tilam.) Kami tidak tahu bahawa bapa rupanya menghidap kanser paru-paru sehinggalah diberitahu oleh doktor Cina beberapa hari sebelum bapa meninggalkan kami. Semasa bapa terlantar di rumah, bapa mengadu sesak nafas. Aku lihat bapa agak sukar untuk menarik nafas dan terpaksa mengambil udara melalui mulutnya. Bapa juga meminta agar disediakan baldi kecil yang diletakkan di tepi tilamnya kerana bapa akan menghasilkan ludah dan terpaksa membuang ke dalam baldi kecil tersebut.
Kakak Comel yang selalu menemankan bapa. Mengurut belakang bapa pada waktu malam. Ketika itu aku baru sahaja habis tahun pengajian terakhir di maktab.
Memandangkan aku tiada aktiviti sepanjang cuti, maka aku ditugaskan untuk menemani bapa di hospital. Sebagai anak, sungguh teruji keikhlasan diri apabila aku perlu menguruskan keperluan bapa di hospital. Bapa terpaksa dipapah berjalan ke bilik air. Badannya perlu dilap menggunakan kain basah dengan keadaan paip getah kecil yang bersambung dari lubang rusuk kirinya. Saluran getah jernih itu berakhir pula dengan satu bekas yang diletakkan di lantai bawah katil untuk menampung cecair yang keluar daripada paru-paru bapa. Cairannya kuning kemerahan. Ada campuran darah. Mengalir sedikit demi sedikit. Bapa juga tidak berselera makan. Selama sembilan hari keadaan ini berlarutan. Bapa semakin lemah walaupun masih boleh bercakap. Beraknya hanya di atas katil, mujur masih boleh duduk di atas bekas khas yang ada di hospital.
*to be continued.

Hari terakhir bapa.

Pemeriksaan berkala oleh doktor di hospital pada pukul 8.00 pagi 29 Disember 2005.
Tekanan darah bapa semakin turun. Doktor memberitahu aku supaya memaklumkan ahli keluarga datang untuk berjumpa bapa. 'Masa' bapa sudah hampir. Bapa duduk di tengah-tengah katil. Pandangannya seakan kosong. Aku tidak tahu apa perasaan saat ini. Mahu menangis, panik.

Kebetulan Kakak Mas datang ke hospital pada pagi yang sama. Aku berjumpa dengan kakak di tingkat bawah hospital dan memaklumkan hal ini. Masing-masing senyap seketika selepas aku memberitahunya. Mungkin kakak yang menelefon kakak-kakak yang lain. Kakak Aja, Kakak Comel terus datang ke hospital. Kakak Mas naik ke atas dan menemui bapa di katil. Lebih kurang pukul 10 - 10.30 pagi. Bapa memberitahu kakak. Dia mahu makan buah nanas. Aku hairan. Kakak menyuruh aku ke kedai membeli buah nanas dalam tin. Susah mencari buah nanas segar di hospital ketika itu.

Aku berlari-lari anak dalam jarak lebih kurang 800 meter. Ke kedai runcit Cina di Batu 2 berhampiran jalan ke SMK Sandakan. Membeli nanas dalam tin. Ada. Berlari semula balik ke wad. Bapa  makan nanas tersebut tetapi sedikit. Kakak Mas dan Kakak Aja kemudiannya turun ke tingkat bawah hospital. Tinggal aku bersama Kakak Comel menemani bapa yang terbaring.

Saat-saat terakhir bapa.

Tiba-tiba aku lihat bapa mengerutkan mukanya. Kepalanya agak terdongak ke atas berhampiran kepala katil. Aku panik. Aku tahu bapa dalam keadaan nazak. Kakak Comel mula menangis. Kakak Aja dan Kakak Mas masih belum naik. Keadaan bapa semakin nazak. Aku mengajar bapa menyebut 'Allahu Akbar'. Dalam keadaan begitu, bapa sudah tidak mampu berkata-kata. Dengan satu tarikan bunyi nafas yang panjang, bapa pun pergi meninggalkan kami. Aku meraung dalam hati. Kakak Comel menangis sambil meminta jururawat berbuat sesuatu. Semuanya sudah terlambat. Kami kehilangan bapa lebih kurang pada pukul 11.15 pagi. Hari Khamis yang cerah.

Aku sempat menelefon kawan baikku Ibrahim. Noor Shaheda. Shaheda datang bersama ibunya melihat jenazah bapa pada waktu tengah hari. Pakcik pun datang melihat wajah bapa setelah sekian lama mereka tidak berjumpa atas sebab-sebab kekeluargaan. "Pakcik, maafkan salah bapa.." Aku sempat meminta kepada pakcik.

Urusan penyempurnaan jenazah bapa semuanya disiapkan di hospital. Jenazah bapa di simpan dalam rumah mayat. Menunggu Abang Jul sampai entah dari mana. Pengebumian jenazah bapa hanya dapat dibuat pada lewat petang Jumaat 30 Disember 2005.

Al-fatihah untuk bapa. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa bapa dan dihindari daripada segala seksaan. Kesusahan dan kesukaran hidup sudah terlalu banyak mengambil masa untuk kami hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Tidak tercapai impianku melihat kami sembilan orang beradik untuk berkumpul bersama kedua ibu bapa. Apa yang ada sekarang cuma kami dan ibu. Harapan yang tidak pernah padam untuk melihat kami berkumpul bersama ibu. Mudah-mudahan Allah dapat menunaikan impian ini. Insya Allah.

Wednesday, 3 August 2011

Midnight


Whats gonna happen next.. I don't know..

Monday, 1 August 2011

Log awal Ogos

Syukur kepada Allah.

Hari pertama Ramadhan yang berlalu dengan baik. Paling penting hari ini rasa lapang dan tenang. Berbuka dengan makanan yang ala kadar. Umur kian meningkat begini, segala yang masuk ke dalam mulut mesti dikawal.

Thanks Serena! U made my day! Congrats for winning Stanford! Good luck for the rest of summer till NY. 

38th WTA career title
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...