Saturday, 9 July 2011

Ya Allah, peliharakanlah negara kami bumi Malaysia

Cuma pandangan dan pendapat peribadi mengenai Perhimpunan Bersih 2.0 yang menjadi salah satu peristiwa penting dalam negara pada hari ini, 09 Julai 2011. Salah satu punca perhimpunan ini diadakan adalah kerana lahirnya rasa tidak puas hati dengan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini. Terus terang, aku tidak ambil pusing dengan perhimpunan ini kerana tiada dorongan kuat untuk aku mengikuti perkembangannya. Pihak majikan pun ada mengeluarkan 'amaran' supaya tidak melibatkan diri dengan sebarang bentuk perhimpunan haram.

Inilah situasi politik di Malaysia pada hari ini. Semakin banyak isu yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak. Masing-masing cuba menyuarakan pendapat dan hak. Jelasnya, banyak pihak dalam kalangan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan kepemimpinan sekarang. Ramai juga yang hanya ikut-ikutan tanpa faham dengan jelas apa yang mereka perjuangkan (cuma pendapat peribadi). Cetek pengetahuanku dalam perkembangan politik semasa dan rasanya tidak layak untuk aku menulis panjang lebar tentang situasi ini.

Apa yang aku harapkan ialah agar negaraku Malaysia sentiasa dipelihara keamanannya dan kekal keharmoniannya seperti sebelum-sebelum ini. Malaysia bukanlah sebuah negara yang terkenal dengan demonstrasi jalanan / tunjuk perasaan tetapi kini telah ada tanda-tanda ianya semakin kerap berlaku. Kepada Allah, aku memohon di catatan ini dan juga di atas tikar sembahyang, agar dikekalkan kesejahteraan negaraku ini dan dihindari daripada sebarang bentuk perpecahan apatah lagi peperangan. Sesungguhnya nikmat keamanan itu tiada tolok bandingnya. Keamanan itu syurga dunia. Rakyat Malaysia khususnya dan rakyat seluruh dunia amnya, jadikan dunia ini sebagai tempat yang aman dan penuh dengan kasih sayang. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih / Thank You
http://bit.ly/1bNnzEh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...