Wednesday, 26 August 2009

Novel : Jalur Sinar di Celah Daun


Aku sedang menikmati jalan cerita sebuah novel yang baru sahaja aku beli kelmarin (25 Ogos). Hmm..tertarik dengan penulisnya dan layout buku ni. Zaharah Nawawi. Pada muka depan buku ni, ada gambar seperti daun getah yang disinari cahaya matahari pagi. Memang nostalgik sangat. Sempat menggoogle info mengenai novel ini. Oh ya, kata-kata di bawah ni juga turut termuat pada kulit belakang novel tersebut. Jalan ceritanya menarik. Mudah difahami dan tidak berbunga-bunga yang mana biasanya bahasa berbunga-bunga ni membuatkan aku mengantuk! Leka membaca sehingga pukul 1.15 pagi. Nama-nama watak dalm cerita ini juga sesuai dengan latar masa pada ketika itu.. Dali.. Tijah.. Novel-novel zaman sekarang kebanyakannya membuat aku mual. Penulis muda suka menggunakan nama-nama yang 'terlalu' indah dan ala2 sedap didengar..walhal..itu cukup menjelikkan bagi aku. Ah, tidak seperti karya-karya lama Dr.Fatimah Busu, karya-karya oleh Sasterawan2 negara. Oh ya, karya Zurinah Hassan juga aku suka. Tidak dilupakan, Khadijah Hashim..

Tu bulan, tu bintang,
Atas pucuk kayu ara;
Mari puan mari sayang,
Kita senyum dan ketawa..

Pantun di atas telah dinyanyikan oleh watak Tijah semasa menghiburkan anaknya, Dahlia ketika itu merengek kala malam hari. Rujukan : Bab 7 - 'Melihat Bulan' m/s 57.


Mengimbau nostalgia novel yang pernah mendapat perhatian daripada pembaca suatu ketika dahulu telah menggamit penerbit Alaf 21 untuk menerbitkan semula novel ini. Tersentuh hati ketika membacanya bagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh sepasang suami isteri muda, Dali dan Tijah yang menjadi peneroka di sebuah daerah untuk meneruskan hidup semata-mata ingin memiliki geran sebidang tanah yang baru diteroka. Namun, satu kebakaran secara mendadak mengheret mereka ke dalam pancaroba hidup menyebabkan si suami terpenjara dan si isteri tersisih di desa bersama anak yang masih kecil. Dengan bahasa yang mudah, Zaharah Nawawi berusaha menjalin sebuah novel kehidupan rumah tangga yang mencabar. Beliau ternyata ingin meyakinkan kepada pembaca bahawa seseorang wanita tetap dapat menjadi ilham utama yang berkesan kepada lelaki. Dan, setiap cabaran hidup sebenarnya dapat cepat memperkaya dan mendewasakan lahir dan batin seseorang..

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih / Thank You
http://bit.ly/1bNnzEh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...